Presiden Malvides, Mohamed Muizzu - Sumber Imej Sinar Harian
Teraju Berani Wibawa
Presiden Malvides, Mohamed Muizzu - Sumber Imej Sinar Harian
MALE — Kerajaan Maldives mengambil langkah lebih tegas dalam isu konflik di Asia Barat apabila mengumumkan rancangan untuk mengenakan larangan kemasukan tanpa syarat terhadap semua pemegang pasport Israel, tanpa mengira sebarang perubahan situasi pada masa hadapan.

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu, menjelaskan bahawa rang undang-undang imigresen baharu yang sedang dibentuk itu bakal menetapkan sekatan mutlak terhadap rakyat berpasport Israel daripada menjejakkan kaki ke negara kepulauan tersebut dalam apa jua keadaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Presiden, cadangan awal sebelum ini hanya mengehadkan kemasukan sehingga tindakan ketenteraan Israel di Palestin dihentikan. Namun, pindaan terbaharu ini memperkasakan lagi dasar tersebut agar menjadi larangan menyeluruh dan kekal.
“Membenarkan pemegang pasport Israel memasuki Maldives adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” tegas Muizzu dalam sidang media terbaharu.
Beliau turut menyifatkan kempen ketenteraan rejim zionis di Gaza sebagai tindakan genosid terhadap rakyat Palestin, selain menegaskan bahawa Maldives akan terus konsisten membela nasib Palestin di pelbagai platform antarabangsa dan saluran undang-undang.
Langkah ini menyusuli tindakan awal Maldives yang mula mengharamkan kemasukan pasport Israel pada April 2025 menerusi pindaan Akta Imigresen yang diluluskan Parlimen sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Sebagai sebuah negara di Lautan Hindi, Maldives kekal konsisten memperjuangkan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota, selaras dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).