Abdul El-Sayed: Tokoh Muslim Pertama Yang Berjaya Tembusi Senat AS
Dunia politik Amerika Syarikat (AS) sentiasa menjadi perhatian global kerana impaknya yang besar pada peringkat antarabangsa. Tidak terkecuali, Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang baru sahaja melakar sejarah baharu apabila calon daripada Parti Demokrat, Abdul El-Sayed, mengesahkan kemenangan besar dalam perebutan kerusi Senat di Michigan selepas menewaskan pencabarnya daripada Parti Republikan, Mike Rogers.
Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan biasa—ia melakar sejarah tersendiri apabila Abdul El-Sayed diangkat sebagai individu beragama Islam pertama yang dipilih menganggotai Senat AS.

Tetapi, siapa sebenarnya figura hebat di disebalik kejayaan ini? Jom kita kenali latar belakang serta perjalanan hidup beliau dengan lebih dekat.
Siapa Sebenarnya Abdul El-Sayed?
Selain aktif dalam arena politik, Abdul merupakah seorang doktor perubatan, pakar epidemiologi, dan bekas pegawai kesihatan awam. Beliau mendedikasikan sebahagian besar kerjayanya untuk memastikan institusi kerajaan sentiasa berdiri teguh memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Antara sumbangan terbesarnya termasuklah:
- Membangunkan Semula Detroit: Memulihkan semula Jabatan Kesihatan Detroit selepas bandar raya itu berdepan krisis kebankrapan.
- Inisiatif Kesihatan Rakyat: Menerajui perkhidmatan kesihatan di Wayne County, memperkenalkan program cermin mata percuma untuk kanak-kanak, serta memperluas akses kepada rawatan dos berlebihan opioid (Narcan).
- Penghapusan Hutang Perubatan: Memperkenalkan program bantuan yang berjaya melupuskan hutang perubatan penduduk tempatan sehingga mencecah AS$700 juta bagi meringankan beban kewangan rakyat.
Latar Belakang & Pendidikan Bertaraf Dunia
Dilahirkan di tenggara Michigan, Abdul dibesarkan oleh bapa kandungnya yang merupakan imigran dari Mesir bersama ibu tirinya. Di zaman sekolah, beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif menyandang jawatan kapten untuk tiga pasukan sukan utama: bola sepak Amerika, gusti, dan lakros.
Kecemerlangannya berterusan apabila beliau:
- Menamatkan pengajian di Universiti Michigan dengan pencapaian akademik tertinggi sambil mewakili pasukan lakros universiti tersebut.
- Memperoleh ijazah perubatan dari Universiti Columbia menerusi biasiswa penyelidikan berprestij.
- Melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dan meraih ijazah kedoktoran kedua sebagai penerima Biasiswa Rhodes yang amat berprestij.
Di sisi peribadi, Abdul bahagia menetap di Ann Arbor bersama isterinya, Sarah, serta dua cahaya mata perempuan mereka, Emmalee dan Serene.
Pejuang Kesihatan & Hak Rakyat
Bukan sekadar pentadbir, Abdul juga merupakan penulis buku popular berjudul Medicare for All: A Citizen’s Guide yang menggariskan panduan penyediaan sistem penjagaan kesihatan berkualiti tinggi pada kos mampu milik untuk semua rakyat Amerika.
Malah, pada tahun 2020, beliau turut dipilih menganggotai Pasukan Petugas Perpaduan Presiden Joe Biden untuk merangka dasar penjagaan kesihatan yang lebih inklusif, termasuk usaha mengurangkan harga ubat preskripsi di negara tersebut.
Kemenangan gemilang Abdul El-Sayed ke Senat Michigan ini sememangnya membuka lembaran baharu yang membanggakan dalam landskap politik Amerika Syarikat.