Suhu Naik Mendadak, Makanan Terpaksa Dibuang Gara-Gara Sabotaj Siber?
STOCKHOLM: Suhu peti sejuk dan peti pembeku di beberapa pasar raya utama di Sweden dilaporkan melonjak secara mendadak pada awal pagi Isnin, memaksa pengendali premis melupuskan sejumlah besar bekalan makanan akibat risiko kerosakan.
Insiden luar biasa ini berlaku hanya selang tiga minggu selepas kejadian beruntun di Perancis yang dikaitkan dengan aktiviti serangan siber terhadap sistem pendingin komersial.

Dua rangkaian pasar raya terkemuka Sweden, iaitu Ica dan Coop, mengesahkan bahawa mereka masih belum menerima sebarang bukti kukuh atau maklumat rasmi yang mengesahkan sistem penyejukan premis masing-masing telah menjadi sasaran penggodam.
Menurut jurucakap Ica, Helena Johansson, kejadian itu menjejaskan sebilangan kecil cawangan mereka, namun jumlah keseluruhan premis terjejas masih dalam proses penilaian.
“Kami sedang menyiasat apa yang sebenarnya berlaku dan sejauh mana insiden ini memberi impak kepada operasi harian,” jelas beliau sambil menegaskan fokus syarikat kini adalah untuk membantu cawangan-cawangan terbabit.
Bagaimanapun, situasi berbeza dikongsikan oleh sebuah cawangan Ica di Sjobo, selatan Sweden, yang menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi mereka mendakwa sistem penyejukan premis itu telah “digodam dengan tetapan suhu diubah kepada 50 darjah Celsius”.
Sementara itu, wakil rangkaian Coop, Carlos Cancino memaklumkan, hanya enam daripada kira-kira 800 cawangan mereka di seluruh negara mengalami gangguan operasi, sama ada terhenti sepenuhnya atau gagal mengekalkan suhu dingin, sekali gus menuntut tindakan melupuskan produk makanan.
“Setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang maklumat yang mengesahkan insiden ini berpunca daripada serangan siber,” ujarnya kepada agensi berita AFP.
Terdahulu, pada 12 Oktober lalu, industri peruncitan di Perancis berdepan detik cemas apabila ratusan premis perniagaan menjadi mangsa serangan siber yang mensasarkan sistem kawalan penyejukan keluaran syarikat pengeluar dari Denmark, Danfoss.
Gangguan bersiri ini kembali mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan pihak berkuasa Eropah mengenai tahap keselamatan infrastruktur dan rantaian bekalan makanan global.