Amalan membaca doa qunut ketika solat Subuh sering menjadi topik hangat yang memecah-belahkan pandangan sesetengah masyarakat. Ada yang mendakwa hadisnya lemah, malah ada yang kata amalan ini langsung tiada sandaran daripada Nabi SAW. Tapi, betul ke tanggapan ini?Solat jemaah subuh – Foto arkib NSTP
Sebenarnya, ulama hadis sudah lama membahaskan isu ini secara terperinci. Penilaian mereka bukan sekadar tengok pada satu riwayat sahaja, tapi merangkumi keseluruhan jalur perawi, sokongan riwayat lain, hinggalah kepada amalan para sahabat Nabi SAW sendiri.
Contohnya, antara hadis yang kerap dibahaskan ialah riwayat daripada Anas bin Malik RA mengenai qunut yang pernah dibaca Rasulullah SAW. Di sinilah wujudnya sedikit perbezaan pandangan kerana ada perawi dalam rantaian tersebut (seperti Abu Ja’far al-Razi) yang dikritik sebahagian ulama, tetapi diterima dan dinilai baik oleh sebahagian ulama yang lain.
Sebab itulah wujud perbezaan ijtihad: ada yang anggapnya lemah, manakala ulama besar seperti Imam al-Nawawi, al-Bayhaqi, dan al-Hakim menerimanya sebagai hujah yang kukuh.
Bukan Bergantung Pada Satu Hadis Sahaja Hujah untuk qunut Subuh sebenarnya lebih luas. Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim pun ada disebut bagaimana Baginda pernah berqunut dalam solat Subuh. Malah, amalan ini turut diamalkan oleh sahabat-sahabat utama seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali RA. Jadi, ia bukanlah satu amalan “ciptaan” tanpa asas, sebaliknya mempunyai akar umbi yang kuat dalam tradisi Islam.
Bagaimana pula dengan riwayat yang menyatakan Nabi SAW meninggalkan qunut? Menurut penjelasan Imam al-Nawawi, apa yang ditinggalkan oleh Baginda selepas sebulan itu adalah doa keburukan (qunut nazilah) terhadap musuh tertentu, bukannya keseluruhan amalan qunut itu sendiri. Ulama, termasuk Ibn Hajar al-Asqalani, bijak menghimpunkan semua riwayat ini supaya ia saling melengkapi tanpa ada unsur percanggahan.
Berbeza Pendapat, Jangan Bermusuhan Kesimpulannya, dakwaan bahawa hadis qunut Subuh ini seratus-peratus lemah adalah tidak tepat. Umat Islam perlu faham bahawa perbezaan pandangan dalam perkara cabang ibadah (furu’iyyah) sudah wujud sejak zaman berzaman.
Mereka yang mengamalkan qunut Subuh tidak wajar dicemuh seolah-olah tiada dalil. Begitu juga sebaliknya, mereka yang tidak membaca qunut tidak patut dipandang serong. Yang paling penting, kita perlu hormati disiplin ilmu, fahami hujah masing-masing, dan terus jaga perpaduan ummah. Perbezaan mazhab sepatutnya menjadikan kita lebih matang, bukannya membuka ruang untuk bermusuhan!