MEXICO CITY – Pemandu Mercedes, Andrea Kimi Antonelli, kini berada di ambang sejarah besar apabila berpeluang dinobatkan sebagai juara dunia termuda Formula Satu (F1) menjelang Grand Prix (GP) Mexico di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez, hujung minggu ini.

Lebih manis lagi, pelumba berusia 20 tahun itu bukan sekadar mengintai rekod peribadi, malah berupaya menamatkan kemarau panjang selama 73 tahun buat peminat Itali untuk melihat anak jati mereka merangkul gelaran juara dunia F1 sejak kali terakhir dilakukan oleh Alberto Ascari pada 1953.
Antonelli kini mempamerkan prestasi luar biasa dengan selesa mendahului carta kejuaraan berbekalkan kelebihan 123 mata, hasil sembilan kemenangan daripada 18 perlumbaan musim ini.
Peluangnya untuk mengunci kejuaraan di Mexico tampak cerah apabila dia hanya perlu menamatkan perlumbaan Ahad ini dalam kelompok sembilan terbaik, di samping mengharapkan pencabar terdekat seperti rakan sepasukan George Russell atau bintang Ferrari, Lewis Hamilton, tidak menjuarai perlumbaan tersebut.
Bagaimanapun, prinsipal pasukannya, Toto Wolff, menyifatkan peluang itu sudah hampir pasti (99.9 peratus), namun mengingatkan anak buahnya agar kekal fokus menyelesaikan baki tugasan di litar.
Bagi Antonelli pula, dia memilih untuk mengekalkan mentaliti bersahaja dan mahu menikmati setiap detik perlumbaan tanpa terlalu tertekan dengan jangkaan tinggi ramai pihak.