Sebelum pawagam seluruh negara diserbu penonton, filem KUDRAT 1968: High Council sudah pun mencetuskan fenomena luar biasa.
Terbitan Astro Shaw itu membuktikan magisnya apabila berjaya meraih kutipan tempahan tiket awal mencecah RM3 juta setakat hari Selasa lalu, meskipun tayangan rasminya bermula pada 29 Oktober ini.

Pencapaian gah ini jelas menunjukkan keterujaan peminat yang tidak sabar-sabar mahu menyaksikan KUDRAT 1968: High Council di layar perak, terutama selepas mengikuti empat episod awal naskhah tersebut sebelum ini. Penonton pastinya berebut-rebut ingin merungkai bagaimana kesudahan kemuncak konflik watak-watak utamanya.
Filem arahan Zulaikha Zakaria ini turut dibantu oleh Khairi Asyraff di kerusi pengarah bersama, serta menampilkan barisan pelakon popular seperti Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.