SEMENYIH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal menggerakkan usaha bagi memastikan PETRONAS terus memegang status sebagai penaja utama perlumbaan berprestij, Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Langkah ini menyusul selepas pertemuan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MotoGP Sports Entertainment Group, Carmelo Ezpeleta, yang secara peribadi meluahkan hasrat agar syarikat minyak nasional itu terus mengekalkan peranannya.
Menurut Zahid, pihak penganjur antarabangsa itu berpandangan bahawa nama Malaysia di pentas global sepatutnya terus sinonim dengan jenama PETRONAS, dan bukannya diserahkan kepada syarikat minyak luar atau multinasional lain—seperti kebiasaan negara tuan rumah yang lain.
“Walaupun dari segi kos mungkin agak membebankan, saya rasa ada cara lain yang boleh kita bincangkan untuk pastikan PETRONAS kekal sebagai penaja utama MotoGP pada tahun-tahun mendatang,” ujar beliau.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Zahid dijadualkan mengadakan perbincangan lanjut bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Sembang Santai MotoGP sempena GP Malaysia minggu ini yang turut menyerikan suasana dengan kehadiran legenda-legenda perlumbaan tanah air seperti Wazi Abdul Hamid, Azlan Shah Kamaruzaman, dan Zulfahmi Khairuddin.